Teks : Liyana Anaqi
Dalam siri terakhir berkebun tanpa ruang, mari kita kenal permaculture. Ini adalah teknik paling saya suka, kerana ia merupakan teknik yang menggunakan paling kurang tenaga dan pengawasan, hampir tidak perlu dijaga langsung tapi memberikan hasil yang banyak. Dalam satu kawasan sempit sahaja, permaculture mampu menempatkan banyak pokok dan tidak perlu dijaga.
Permaculture juga dikenali sebagai food forest. Seperti namanya, 'forest' bermaksud semak dan penuh. Jadi mungkin permaculture tidak digemari oleh sebahagian masyarakat yang mahukan laman kelihatan kemas dan teratur.
Permaculture menggunakan konsep alam yang paling asas, iaitu semua organisma saling bergantung antara satu sama lain. Setiap satu pokok akan memberi manfaat kepada pokok lain dan juga mengambil manfaat dari pokok lain.
Saya kongsikan ruangan permaculture saya. Dalam 'semak' ini terdapat pelbagai pokok. Dari depan cuma nampak pokok keladi (sedap dibuat asam pedas), di belakangnya ada pokok pisang serendah, pokok pandan, pokok cili dan beberapa pokok sayur yang masih kecil. Ruangan ini cumalah 5 kali 5 kaki. Dibahagian depan, boleh dilihat pokok keledek.
Ruangan ini pula saya gabungkan raised bed dan permaculture. Dalam batas ini, ada pokok kacang panjang, lada solok, sawi dan bayam. Saya biarkan semuanya tumbuh secara semulajadi.
Pokok yang besar dan menjalar keatas akan memberikan naungan kepada pokok sayur di bawah. Pokok sayur tidak dapat menahan sinar matahari yang terlalu terik. Manakala, pokok sayur pula akan memberikan perlindungan kepada tanah supaya dapat menampung lebih banyak kelembapan, dan tidak mudah kering apabila hari panas. Perhatikan mereka saling membantu untuk hidup.
Pokok-pokok yang tua dibiarkan sahaja. Ada pokok yang sengaja dibiarkan tua dan tidak dipetik hasilnya supaya ia boleh terus membiak tanpa perlu diawasi. Dengan ini,kita boleh mendapat hasil berterusan tanpa perlu menanam semula.
Apabila terdapat pokok yang padat, rumput pun kurang. Pengawalan rumput boleh dilakukan secara minima, tanpa perlu menggunakan racun atau jentera berat.
Jadi, bagaimana? Seronok berkebun?
No comments:
Post a Comment